Monday, October 8, 2007

Kumpulan siswa serba salah hadapi pilihan raya kampus

25-09-2007 09:28:20 PM
Oleh FATHI ARIS OMAR

komentar PETALING JAYA: Sekumpulan mahasiswa, yang sering mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pilihan raya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), serba salah berdepan dengan minggu pemilihan pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bermula esok.

Walaupun bergembira dengan tempoh berkempen yang lebih panjang berbanding tahun lalu, kumpulan tersebut yang dikenali Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) masih meragui kebebasan, ketelusan dan keadilan penjalanan pilihan raya kali ini.

SMM berjaya mendesak untuk memanjangkan tempoh berkempen kepada enam hari, daripada tiga hari, tetapi risau pentadbiran kampus mengenakan syarat-syarat lain yang dianggap tidak adil.

Mengenai Hak Asasi Manusia Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dua minggu lalu.Keputusan memanjangkan tempoh itu dicapai sewaktu SMM bertemu pengerusi Jawatankuasa Kaukus Parlimen

Nazri kemudiannya membawa 10 tuntutan kumpulan siswa ini kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun hanya dua tuntutan itu diterima kerajaan -- memanjangkan tempoh berkempen kepada enam hari, dan merendahkan wang deposit pencalonan kepada RM50.

Untuk sesi-sesi sebelumnya, menurut SMM, terdapat IPTA yang mengenakan wang deposit sehingga RM300.

Tuntutan-tuntutan lain tidak ditunaikan, antaranya, memansuhkan pengundian secara elektronik, membenarkan calon bertanding secara berkumpulan, menubuhkan badan pengendali pilihan raya yang bebas, mengubah tempat pembuangan undi dari kolej kediaman ke fakulti universiti, dan membenarkan pemantau dari luar kampus.

Tuntutan yang sama, bersama laporan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian pilihan raya di IPTA, turut disampaikan kepada kementerian berkenaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Seorang aktivis mahasiswa memberitahu mStar Online hari ini, Universiti Pertanian Malaysia akur pada tempoh berkempen sehingga 2 Oktober seperti diumumkan pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor IPTA, Prof Datuk Dzulkilfi Abdul Razak minggu lepas.

Bagaimanapun, katanya, universiti itu mengambil langkah mengejutkan dengan menaikkan wang deposit calon kepada RM100, berbeza hanya RM50 tahun-tahun lalu.

Seorang aktivis di Universiti Malaya pula bimbang kerenah birokrasi akan membuka peluang yang luas kepada calon "Aspirasi", sementara kumpulan pelajar yang bertembung dengannya dan berslogankan "pro-mahasiswa" tidak mendapat layanan yang sama.

Misalnya, kata pelajar Akademi Pengajian Islam itu, rakan-rakan yang sealiran dengannya selalu dipersulitkan mendapat keizinan untuk berkempen di kolej kediaman.

Pengetua kolej pula sentiasa memerhatikan suasana kempen itu sehingga ramai pula pelajar takut untuk menghadiri kempen calon "pro-mahasiswa".

"Sebab itulah SMM menggesa kempen dan pengundian dipindahkan ke fakulti, bukan lagi di kolej kediaman seperti sekarang," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun perkembangan positif kelihatan muncul di UPM hari ini.

Komputer riba yang dirampas minggu lepas daripada seorang aktivis Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB), gabungan yang ditubuhkan tanpa keizinan rasmi pentabiran dan dianggap melanggar peraturan pilihan raya, dilaporkan akan dipulangkan semula.

Pihak pentadbiran UPM dilaporkan "tersilap" menjalankan prosedur sewaktu melakukan rampasan tersebut.

Perkembangan di luar jangka itu bagaimanapun tidak menghalang BMB daripada terus mendakwa wujud persaingan berat sebelah, yang membabitkan pihak universiti, melalui blog gabungan itu di http://bmbupm.wordpress.com/

Hari ini, artikel teratas awal-awal lagi mendakwa pihak universiti berlaku tidak adil apabila menyebarkan sebuah akhbar cetakan luar Akhbar Mahasiswa di kampus tersebut.

Sementara coretan kedua di bawah artikel ini pula memaparkan amaran UPM agar pelajar tidak melanggar peraturan universiti dengan membuat kenyataan kepada media dan juga mengedarkan bahan sebaran.

Kedua-dua notis itu dikeluarkan 28 Jun lalu.

Sejak 2005, pilihan raya perwakilan pelajar menjadi medan ketegangan antara kumpulan-kumpulan siswa dengan pentadbiran universiti.

Sebuah stesen swasta, tidak lama selepas pilihan raya MPP tahun itu, pernah membangkitkan persoalan kenapa terjadi gejala "pelajar pro-mahasiswa bertembung dengan pentadbiran universiti"?

Sejak dua tahun lalu, rekod-rekod dakwaan pilihan raya yang berat sebelah itu sering disampaikan kepada Suhakam.

Oleh kerana tiada siasatan rasmi dilakukan, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan kecuali menjadi bahan berita di media-media alternatif dan pembangkang.

Persoalannya, kenapa perlu kampus dijadikan medan perebutan yang begitu sengit sehingga kekecohan demi kekecohan -- walau tidak begitu besar -- mula melimpah ke pengetahuan umum, gejala yang jarang terjadi dekad-dekad sebelumnya?

Apakah "kepentingan besar" yang sedang dipertaruhkan sehingga wujud persaingan antara kumpulan-kumpulan siswa dengan pentadbiran universiti, yang dituduh memihak kepada mahasiswa "Aspirasi"?

Apakah tempoh berkempen antara esok hingga Selasa depan menyaksikan keadilan dan kebebasan pilihan raya kampus atau hanya mengulangi dakwaan penyelewengan (lagi!) untuk diserahkan kepada Suhakam?

No comments:

Online Medic

Medifocus.com,Inc.

Syndicated AdLinks

Summer Promotions

Hotel commpetitive rates

SEARCH BOX

Amazon.com

Amazon.com

Amazon.com